Thursday, November 3, 2011

Pengusaha Pub Menemui Hidayah

Assalamualaikum,

Ummi dapat email ni dari seorang sahabat, dan ummi kongsikan di blog... moga cerita di bawah ini menjadi pendorong pada kita untuk lebih mendekatkan diri pada Allah dan semoga kita sentiasa diberi taufik dan hidayah. Allah bagi hidayah kepada sesiapa yang dia inginkan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Pedro di hadapan Masjid Kg Pandan, tempat dimana beliau melafazkan syahadah
buat pertama kalinya



Pedro dilahirkan berbangsa Portugis di Melaka 56 tahun yang lalu. Beliau
seorang penganut agama Kristian. Sumber pendapatannya ialah melalui sebuah
restoran dan pub yang diusahakannya sekian lama.


Perniagaan PUBnya sungguh laris dan dipenuhi pelanggan setiap malam. Dia
seorang yang mudah mesra dan bijak melayan para pelanggannya. Setiap malam
dia akan minum arak bersama mereka. Berpuluh tahun lamanya, itulah cara
hidup yang diketahuinya. Ramai pelanggan menjadi sahabat karibnya, bukan
sahaja di kalangan penduduk tempatan tetapi juga di kalangan golongan
ekspatriat yang ramai terdapat di sekitar Ampang yang terkenal dengan
kawasan pejabat Kedutaan. Perniagaannya berkembang maju dan hidupnya mewah
hasil dari penjualan arak.


Beberapa bulan sebelum Ramadhan 1432, hidupnya berubah secara drastik.
Tidak tahu dimana dan bagaimana untuk memulakan cerita…secara tiba-tiba
berbagai persoalan tentang Tuhan dan kehidupan masuk ke dalam fikirannya.
Persoalan yang dia sendiri tidak tahu jawapannya. Hidupnya menjadi tidak
keruan, jiwanya kacau, benaknya diasak persoalan.

Tiba-tiba bagai ada satu kuasa menyuruhnya untuk menulis bait-bait puisi
yang ada di dalam kepalanya. Dia tidak faham apa yang ditulisnya lalu Pedro
merujuk kepada seorang sahabatnya seorang penulis. Menurut sahabatnya apa
yang digambarkan di dalam puisinya itu berbicara tentang Allah yang satu.
Pedro menjadi bertambah bingung.


Suatu malam dia tersentak dari tidurnya dan serta-merta mulutnya menyebut
“Allahuakbar”….. ungkapan yang tidak pernah disebutnya selama ini. Pedro
tidak dapat melelapkan matanya malam itu. Bagaikan ada suatu desakan di
dalam nalurinya untuk segera beriman kepada Allah.


Keesokannya hari Sabtu dia memohon bantuan seorang rakan untuk membawanya
ke PERKIM. 2 jam menunggu rakan itu tidak kunjung tiba. Pedro terus memandu
ke PERKIM sendirian. Tiba di PERKIM, Pengawal Keselamatan di situ enggan
membenarkan dia masuk dengan alasan pejabat tutup, meskipun terdapat
beberapa orang ustaz yang sedang mengajar kelas agama di tingkat atas.


Pedro terus memandu dan tidak tahu ke mana arah untuk dituju dan kepada
siapa untuk mengadu. Dia tidak lagi dapat menanggung desakan di dalam
jiwanya yang tidak akan tenteram selagi dia tidak menemukan jawapannya hari
itu juga. Lalu dia terpandang sebuah masjid berhampiran dan mengambil
keputusan untuk berhenti dan masuk memohon bantuan. Dia terserempak dengan
beberapa orang jemaah yang baru habis menunaikan solat dan meminta mereka
membawanya bertemu dengan orang yang dapat membantunya. Mereka seakan tidak
acuh dengan permintaannya dan menyuruh dia masuk ke dalam mencari sendiri.
Akhirnya beberapa orang pengikut tabligh yang berada di dalam masjid
menawarkan diri untuk membawa dia ke rumah Imam yang terletak di belakang
masjid.

Malangnya Imam sudah keluar. Lalu mereka mengambil keputusan untuk memohon
bantuan pembantu Imam. Sampai di rumahnya, isteri pembantu imam tidak
membenarkan mereka mengganggu suaminya yang sedang tidur. Walaupun dipujuk
berkali-kali dia tetap enggan mengejutkan Imam. Dengan kuasa Allah tiba-tba
Imam pun tiba dengan motorsikalnya di rumah bersebelahan. Lalu mereka
menemui beliau dan memohon bantuannya. Hari itu juga Pedro memeluk islam
dan memilih “Abdul Aziz” sebagai nama baru.

Tidak mampu membendung perasaan ketika menceritakan bagaimana hidayah Allah
datang kepadanya.


Meskipun berbagai rintangan yang dihadapi dengan kerenah beberapa orang
yang enggan membantunya, Pedro sedikit pun tidak berasa hati malah
menganggap itu semua sebagai dugaan dari Yang Maha Kuasa untuk menguji
samada dia benar-benar yakin dengan keputusannya untuk beriman kepada Allah
Yang Satu.


Namun dugaannya tidak terhenti di situ sahaja malah menjadi tambah hebat
lagi. Penghijrahan Pedro telah menyebabkan dia kehilangan isteri dan
anak-anaknya. Isterinya yang juga merupakan rakan kongsi mengambil
keputusan untuk pulang ke Ipoh. Kesemua pekerjanya juga bertindak berhenti
kerja termasuk mereka yang beragama islam. Ada yang berkata “This business
will not survive if you stop selling drinks (Beer), you will be a bankrupt!
Mark my Word!”. Para pelanggan juga menjauhkan diri. Malah ada yang marah
dan menganggapnya gila kerana menutup pub.


Fauzi, Pengurus Restoran milik Pedro yang telah bekerja dengannya lebih
dari 15 tahun. Perubahan Pedro telah mendorong kakitangannya untuk turut
berubah menjadi insan yang lebih baik.


4 hari selepas berakhirnya Ramadhan, Pedro membuka restorannya semula dan
menukar ia dari sebuah pub kepada sebuah Restoran Portugis Islam.
Pekerjanya yang beragama Islam juga kembali bekerja malah telah menjadikan
Pedro sebagai inspirasi dan contoh untuk mereka bertaubat dan mendekati
Allah. Mereka mula berusaha untuk tidak meninggalkan solat.


Isterinya masih lagi seorang Kristian…seperti kata Pedro; “berikan dia
masa…hidayah itu harus datang dari dalam dirinya dan bukan dipaksa”.
Anak-anaknya secara perlahan-lahan sudah mula dapat menerima Pedro sebagai
seorang Islam.


Pedro harus bangkit semula membina hidupnya di hujung usia setelah
kehilangan semua pelanggannya. Jika dahulu dia boleh memperolehi pendapatan
sehingga 5 ribu ringgit sehari, sekarang 500 ringgit pun agak payah. Namun
keyakinannya terhadap agama yang dipilihnya menjadikan dia lebih tabah dan
pasti bahawa hidupnya kini lebih baik dari hari-hari semalam.
Inilah kisah beliau. Kisah sebuah penghijrahan dari kejahilan ke jalan
Allah SWT dan bagaimana ia merubah 360darjah hidupnya.


Ketika saya meminta untuk menulis kisah beliau, Pedro sangat keberatan.
Beliau tidak mahu menggunakan Islam sebagai landasan untuk menarik
pelanggan ke restorannya. Tetapi setelah dipujuk dan saya menyatakan niat
saya supaya ceritanya ini untuk tujuan berdakwah dan sebagai inspirasi
kepada orang lain barulah beliau bersetuju.

Dr. SAM, salah seorang sahabat Pedro sejak zaman sebelum dia memeluk islam
lagi.



*Jika anda berada di sekitar Ampang saya sarankan untuk menyokong saudara
baru kita ini dengan mengunjungi Restoran beliau Alamat: Restoran Pedro
Portugis Muslim, C-G, Dataran Palma, Jalan Selaman 1, 68000 Ampang,
Selangor
. Restoran ini juga menyediakan hidangan buffet setiap Sabtu dari
7pm -10pm. Semoga Allah membalas segala jasa baik kalian. Amin.



**Kisah Pedro ini akan dijadikan sebuah dokumentari untuk tayangan sempena
Maal Hijrah (27 November 2011) di TVAlhijrah (ASTRO114). Untuk maklumat
lanjut sila ke link berikut
http://www.facebook.com/pages/4-Hidayah-4-Hijrah/205165492889000


By: ERA RAMLY

4 comments:

Hidayatullah said...

Subhanallah... Allah lah yg memegang hidayah.. mohon doa supaya kita dalam hidayah..

ank_ayah said...

Subhanallah tk dpt nk tahan dah air mata ni. Sungguhla indahnya saat hidayah Allah mengetuk jiwa hambaNya.

Ummi-Izah said...

hidayatullah..insya allah

ank_ayah -- betul sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun.

Ummi-Izah said...

ops lupa, penulis sebenar tulis kat sini pengikut tabligh patutnya tulis pendakwah lebih elok kut...tapi apa2 pun hidayat seluruh alam..